Tuesday, December 16, 2008

KPLB cadang wajibkan JKKK adakan gotong royong

TAMBUNAN, Dis 13 -- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk mengadakan gotong-royong bagi tujuan menjaga serta membersihkan kemudahan dan kawasan Kampung masing-masing.
Menterinya yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata, cadangan ini bertujuan untuk memastikan setiap Kampung berada dalam keadaan bersih disamping memastikan kemudahan awam yang disediakan kerajaan dapat dijaga dengan baik.
Jelasnya, cadangan ini timbul berikutan kurangnya kesedaran di kalangan penduduk kampung untuk menjaga kemudahan awam seperti gelanggang permainan, padang, dewan dan balairaya yang bukan sahaja tidak disenggara dengan baik tetapi juga berada dalam keadaan yang kotor.
Beliau berkata demikian di majlis Penyerahan 20 gulung polypaip yang diadakan di Balairaya Kampung Tontolob Sunsuron, dekat sini, pagi tadi.
Turut hadir Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Tambunan, Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri, En Welfredoline Jakil; En. Thomas Logijin; Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawasan Tambunan, En. Laiwon Dalus; Pengerusi JKKK Kampung Tontolob Sunsuron, En Gipul Rutis dan Ketua Kampung, En. Angip Gani.
Katanya, sekiranya cadangan ini diluluskan dan dipersetujui di peringkat kementerian, kita akan mengeluarkan surat pekeliling kepada setiap pejabat daerah untuk mengeluarkan arahan kepada setiap JKKK mengadakan aktiviti gotong-royong.
Perkara ini perlu dimasukkan di dalam agenda JKKK. Ini kerana aktiviti gotong-royong adalah sesuatu kegiatan yang sihat disamping ianya juga mampu memupuk semangat persefahaman dan kerjasama, khususnya dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Katanya, kegiatan gotong-royong semakin dilupakan dan sudah tidak diamalkan dibanyak tempat. Justeru itu, amalan gotong-royong perlu disemai semula di kalangan generasi muda dan perlu diadakan dari semasa ke semasa.
Ketiadaan aktiviti gotong-royong menyebabkan usaha untuk membersihkan kemudahan hanya dilakukan oleh sesetengah pihak ataupun tidak dilakukan langsung dan ini menyebabkan banyak kemudahan berada dalam keadaan yang kotor dan tidak selamat digunakan disamping kelihatan semakin usang.
Katanya, adalah menjadi tanggungjawab setiap penduduk di kampung masing-masing untuk memastikan kebersihan agar kemudahan ini dapat bertahan lama dan dapat digunakan sepenuhnya oleh penduduk kampung.
Katanya, aktiviti gotong-royong perlu dijalan lebih kerap lagi dan sebaiknya diadakan sekali sebulan ataupun sekali dalam dua bulan tetapi janganlah adakan hanya sekali setahun.
Sempena dengan tahun baru ini, kita berharap semua JKKK dapat menanam azam untuk memperbaiki sistem pentabiran di setiap kampung masing-masing agar bukan sahaja selesa untuk didiami tetapi juga kondusif untuk kegiatan kemasyarakatan.
Selain itu, kampung yang cantik dan bersih bukan sahaja mampu menghindarkan dari sebarang penyakit bawaan vektor tetapi juga menjadi aset kepada sektor pelancongan yang menarik kepada pengunjur luar untuk datang melawat.
Sementara itu, penduduk Kampung Tontolob Sunsuron menerima 20 gulung polypaip bagi menggantikan sistem paip air graviti kampung berkenaan yang rosak teruk dilanda banjir baru-baru ini. Pemulihan sistem paip air berkenaan dilakukan secara bergotong-royong oleh penduduk di kawasan itu.
Selain menerima bantuan polypaip, kampung berkenaan juga turut menerima peruntukan untuk membina sebuah gelanggang bola tampar serta peruntukan membeli peralatan dewan. http://www.pbs-sabah.org

2 comments:

waritarakyat said...

Penglibatan masyarakat dalam aktiviti gotong-royong amatlah dialu-alukan. Apatah lagi sebagai pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi seperti JKKK dan Ketua Kampung.

drpd;
http://suratrakyat.blogspot.com

rumandawi said...

Betul tu Warita. Siapa lagi yang nak diharapkan untuk menjaga kebersihan dan keceriaan kampung kalau bukan penduduk kampung itu sendiri. Melalui JKKK lah matlamat ini dapat dijayakan.