Thursday, September 4, 2008

Cuti 16 September hanya muslihat Anwar

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Langkah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggembar-gemburkan bahawa tarikh 16 September wajar diisytiharkan sebagai cuti umum merupakan satu bentuk muslihat untuk membeli 'perasaan' rakyat Sabah dan Sarawak.
Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong berkata, Anwar cuba menarik perhatian masyarakat di kedua-dua negeri itu dengan sengaja menjadikan tarikh kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan sebagai agenda perjuangannya.
Beliau bagaimanapun yakin rakyat Sabah dan Sarawak matang untuk menilai perilaku Anwar yang disifatkannya sebagai semakin terdesak dalam usahanya menarik Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai pembangkang.
''Anwar telah berjanji kepada rakyat bahawa dia akan membentuk kerajaan baru pada 16 September dan secara tiba-tiba juga mahu menjadikan tarikh ini sebagai cuti umum.
''Ini semua muslihat Anwar, dia memang bijak untuk memikat hati rakyat, tetapi dia lupa yang rakyat kini semakin matang dan mereka tidak mudah ditipu dengan sebarang fakta yang tidak berasas,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan Anwar supaya pimpinan pembangkang di lima buah negeri mengisytiharkan 16 September sebagai cuti umum.
Anwar berkata, cuti umum itu wajar kerana 16 September adalah tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia dan ia merupakan hari bersejarah sama seperti 31 Ogos.
Selain itu, Anwar sebelum ini pernah menyatakan keyakinannya iaitu sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen BN khususnya dari Sabah dan Sarawak akan menyertai pembangkang pada 16 September ini bagi membolehkan pembangkang menubuhkan kerajaan baru.
Vui Keong berkata, sejak 45 tahun lalu, rakyat Sabah dan Sarawak telah dapat menerima tarikh 31 Ogos sebagai satu-satunya tarikh kemerdekaan negara.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keyakinan Anwar untuk membawa masuk 30 Ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak, beliau berkata, perkara itu tidak akan berlaku.
Ujarnya, Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak masih mempunyai kejujuran, maruah, nilai harga yang tinggi dan integriti.
''Jangan sangka wakil rakyat kami mudah dibeli dengan wang ringgit. Kedudukan kami ditentukan oleh mandat rakyat dan kami tidak akan sia-siakan kepercayaan yang telah diberikan,'' katanya.
Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Fadillah Yusof pula berkata, rakyat harus sedar dengan apa yang cuba dilakukan oleh Anwar kerana ia tidak lebih daripada satu gimik politik.
Beliau berkata, Anwar bijak bersandiwara dan menyusun strategi dalam usaha mencapai cita-cita politiknya.
''Tetapi saya yakin dan percaya rakyat dan pemimpin daripada semua parti komponen BN sama ada di Sabah dan Sarawak tahu mengukur sejauh mana keikhlasan Anwar untuk memperjuangkan nasib dan masa depan rakyat di kedua-dua negeri.
''Saya bercakap atas kebenaran. Berbeza dengan BN, kita tidak mahu banyak berjanji, sebaliknya kita akan terus bekerja untuk membela rakyat,'' katanya.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin turut menaruh keyakinan terhadap kesetiaan Ahli-Ahli Parlimen BN di Sabah dan Sarawak
Namun, beliau mahu semua pihak memantau setiap perkembangan yang berlaku kerana Anwar sudah tentu tidak akan berdiam diri dalam usahanya mencapai cita-cita politik yang telah terpendam sejak sekian lama...Utusan Online

3 comments:

daddy-wafiah said...

Aku pelik dan hairan dengan sikap tamak manusia yang bergelar anti kerajaan ni.Ada saja cara yang digunakan untuk mengaburi rakyat dengan mainan politik yang tidak demokrasi ni.mat jenin!!!!hancurlah negara ditangan orang2 sebegini.

rumandawi said...

Memang hancur negara kita kalau diambil alih oleh org2 bgini!!
Selagi DSAI x dapat capai impian mo jaD PM, dia akan terus buat macam2 pembohongan utk mengabui mata rakyat. skrg ni dia yakin betul la tu sbb sdh menang di P. Pauh dan dia ingat laluan mo JaD PM sudah terbuka luas. 'Matlamat Menghalalkan Cara'. ini la yg dia amalkan skrg. takut kempunan mo JaD PM....

waritarakyat said...

Rakyat hari ini dah tahu sendiwara beliau. Bukan semuda yang dikatakan. Apa yang beliau kata hanyalah sendiwara dan omongan kosong untuk memikat hati rakyat. Lupakan agenda beliau kerana tidak masuk akal.