Tuesday, December 16, 2008

KIRMT terharu dapat rumah baru sempena Hari Krismas

TAMBUNAN, Dis 14 -- Ketua Isirumah Termiskin (KIRMT) di daerah ini yang layak menerima bantuan rumah pada tahun ini mendapat hadiah sempena Hari Krismas yang bakal menjelang tiba.
Antara keluarga yang mendapat bantuan ini adalah keluarga Mark Sidek. Sidek, 40 tidak dapat menahan air mata kerana terlalu gembira apabila mendapat tahu keluarga mereka adalah salah sebuah keluarga yang mendapat bantuan rumah PPRT pada tahun ini.
Sebelum ini, kami hanya tinggal di ‘sulap’ (teratak usang) yang terletak di tengah ladang padi huma jauh dari kampung apatah lagi bekalan air bersih dan juga bekalan elektrik.
Mark yang mempunyai anak seramai 3 orang bersama isteri mengusahakan ladang mereka untuk menyara hidup keluarga umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Selain bimbangkan keselamatan anak-anak, Mark juga turut menyatakan kebimbangan akan masa depan anak-anaknya apabila besar nanti, mujur bantuan rumah yang didirikan berdekatan dengan sekolah dan juga klinik.
Anak-anak saya tidak perlu lagi berjalan kaki lebih jauh untuk bersekolah dan kami sekeluarga amat berterima kasih dengan bantuan yang diberikan ini.
Nasib malang yang menimpa mereka ini mendapat perhatian daripada Adun kawasan berkenaan bersama-sama dengan pihak Pejabat Daerah Tambunan, setelah diteliti mendapati keluarga ini layak untuk mendapat bantuan rumah.
Bantuan rumah yang diterima oleh keluarga Mark berukuran 30 kaki kali 40 kaki persegi merangkumi 3 bilik tidur, 1 tandas dan 1 bilik mandi dibina di kawasan tanah Kampung Tombotuan.
Rumah berkenaan sudah boleh didiami tidak lama lagi dan hanya menunggu meter elektrik dan air disambung oleh pihak berkenaan sahaja lagi.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata, pada tahun ini sahaja seramai 49 Ketua Isirumah Termiskin (KIRMT) di daerah ini bakal menerima bantuan rumah di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).
SPKR yang sebelum ini dikenali sebagai Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) menyiapkan 29 buah rumah yang dibina mengikuti spesifikasi terbaru yang merangkumi sistem pendawaian dan sambungan paip air yang bernilai RM40,000. Sementara 17 buah rumah lagi dibina dengan kos sebanyak RM25,000 seunit.Bantuan rumah untuk KIRMT ini berjumlah RM1,160,000.00 rumah mengikut spesifikasi baru dan RM425,000.00 lagi rumah telah dibina mengikut spesfikasi sebelum ini.
Secara keseluruhanya, pada tahun ini Kerajaan membelanjakan RM1,585,000.00 untuk membina rumah PPRT ini, katanya di majlis penyerahan kunci rumah kepada KIRMT di Kampung Tombotuan, dekat sini, semalam.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Pembangunan Tambunan, Encik Thomas Logijin, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Encik Welfredoline Jakil dan Pemimpin Kemajuan Rakyat Tambunan, Encik Laiwon Dalus.
Pairin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, Kerajaan amat serius dan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu KIRMT keluar dari kepompong kemiskinan seperti yang disasarkan oleh Perdana Menteri, bebas kemiskinan tegar menjelang 2010.
Selain bantuan rumah, pelbagai lagi program kini yang sedang berjalan seperti Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ), Mesej atas air di bawah agensi pembimbing sedang giat berusaha untuk membimbing serta memberi tunjuk ajar kepada KIRMT bagi meningkatkan pendapatan.
Sementara itu katanya, Kerajaan melalui Unit Penyelarasan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri kini menjalankan bancian Isirumah Miskin dan Miskin Tegar di seluruh Negeri bagi membangunkan pengkalan data e-kasih.
Bancian yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia kini berada di peringkat akhir penyemakan data termasuk mendapatkan maklumat dari pejabat-pejabat daerah bagi Ketua Isirumah Miskin Tegar yang tercicir dari bancian yang dilakukan sebelum ini.
Pejabat Pembangunan Negeri Sabah telah juga mengedarkan senarai e-kasih di setiap daerah kepada semua ahli Yang Berhormat di kawasan masing-masing bagi mengenalpasti mereka yang tercicir dari senarai.
Sehubungan itu, adalah disarankan agar Ahli Yang Berhormat di kawasan masing-masing membincangkan di dalam mesyuarat Focus Group untuk memperakukan senarai KIRMT itu bagi mendapatkan kesahihan maklumat berkenaan. http://www.pbs-sabah.org

2 comments:

waritarakyat said...

Terima Kasih Pak Lah...

drpd;
http://suratrakyat.blogspot.com

Anonymous said...

Pemimpin kita tidak memandang siapa yang hendak dibantu. yang penting dia rakyat malaysia. inilah buktinya perpaduan kaum berbilang agama dan kepercayaan sudah berakar umbi di kalangan rakyat malaysia. ianya tidak akan musnah selagi pemimpin gila kuasa macam DSAI dan pemimpin-pemimpion pembangkang lain tidak ambil alih kerajaan. mari kita pastikan usaha mereka ini tidak kesampaian. mari kita pastikan bahawa negara ini tetap kita punya. kalau DSAI dan kuncu2nya sudah memerintah..percayalah..kita tidak akan seperti sekarang. kita akan sentiasa di bawah kepimpinan yang berpenasihatkan barat dan yahudi!!